DAP Islamofobia fobia agama mahathir DEB berkepentingan awam Kit Siang Kelantan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Vateran DAP, Lim Kit Siang mendakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak bercakap benar mengenai sesi waktu pertanyaan perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Tuduhan itu dibuat selepas Wan Saiful mendakwa Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah memberi gambaran salah mengenai sesi tersebut.

“Dia (Wan Saiful) mengatakan yang semasa PMQT, hanya ahli Parlimen yang dipanggil oleh speaker sahaja yang boleh berdiri untuk mengemukakan soalan. Ahli-ahli Parlimen yang lain tidak dibenarkan untuk mencelah.

“Wan Saiful tidak memberikan gambaran sebenar persidangan Parlimen. Malah dia sedang cuba untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang sebenar,” kata Kit Siang.

Menurut bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memberikan keutamaan sekiranya terdapat pemimpin utama parti pembangkang bangkit untuk bertanya soalan susulan.

Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memberikan  keutamaan berdasarkan kekananan dan kedudukan ahli Parlimen.

“Sejak pengenalan PMQT pada 14 Februari 2023, sudah ada lapan PMQT diadakan dan semakan penyata rasmi akan menunjukkan tidak ada sekali pun dari kelapan-lapan PMQT ini di mana salah seorang dari tiga pemimpin tertinggi pembangkang ini telah bangkit untuk mengemukakan soalan susulan.

“Adakah sesiapa dari kalangan tiga orang pemimpin pembangkang ini yang boleh mengatakan yang mereka telah cuba untuk mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri semasa PMQT tetapi tidak diberikan ruang oleh speaker?

“Sekiranya tidak, bolehkah ketiga-tiga pemimpin PN ini memberikan jawapan mengapa mereka kerap ponteng dari menjalankan tanggungjawab mereka di Parlimen dalam kelapan-lapan sesi PMQT dalam tiga bulan yang lepas?” tanya Kit Siang.

Wan Saiful dalam kenyataan semalam mendakwa ketua pembangkang atau ketua parti tidak boleh turut serta dalam sesi PMQT.

Mengulas “sindiran” Fahmi yang membangkitkan ketiadaan sekali lagi Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sesi itu, Wan Saiful mendakwa Fahmi “jangan memberi gambaran salah”.

Beliau berkata, hanya ahli Parlimen disebut Speaker Dewan Rakyat sahaja yang boleh bertanya soalan, manakala satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan daripada pihak lain semasa sesi itu.

Wan Saiful berkata, adalah wajar PMQT ditambah baik seperti ala-Westminster yang mana ketua pembangkang diberi slot menyoal perdana menteri.

Terdahulu, Fahmi menerusi hantaran Facebook mempersoalkan beberapa pemimpin PN tidak hadir ketika sesi pertanyaan perdana menteri.

Katanya, sesi itu adalah peluang terbaik kepada pihak pembangkang membangkitkan soalan dan isu tertentu secara bersemuka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast