MELAKA – Rakyat di negeri ini berharap barisan Exco yang baharu dilantik hari ini dapat memperkasa agenda dan dasar menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan B40.
Seorang peniaga asam pedas, Amizan Abu Kasim, 41, berkata, antaranya termasuklah menaiktaraf lokasi perniagaan bagi memastikan ia mampu menarik lebih ramai pelancong sekali gus menjadikan mereka terus berdaya saing.
“Saya harap barisan Exco yang dilantik hari ini dapat menambah baik agenda terutamanya menjadikan pusat niaga di Melaka lebih cantik dan bersih supaya perniagaan menjadi produktif dalam persekitaran yang kondusif.
“Kalau boleh, segala apa dasar kepimpinan terdahulu yang sudah hampir siap janganlah ditangguhkan lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan kebajikan rakyat dari kumpulan B40,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pagi tadi, seramai sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri.
Jumaat lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dengan memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Sementara itu, seorang pengusaha kedai cuci kereta, Ashwad Abdul Rahim, turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ab Rauf berdasarkan latar belakangnya dalam dunia perniagaan.
“Saya yakin, beliau mempunyai pelbagai perancangan untuk menarik pelabur ke Melaka dan hasil itu akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai kemudahan untuk kebajikan rakyat.
“Diharapkan, barisan Exco kepimpinan beliau dapat memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak pantas seiring khususnya memulihkan pendapatan usahawan ketika pasca pandemik Covid-19,” katanya.
Rakannya, Mohd. Sheiful Allif Mahmud, 37, juga berharap kerajaan dapat memudahkan kelulusan permohonan pinjaman kepada golongan peniaga kecil.
“Saya harap Ketua Menteri dan barisan Exco dapat mengurangkan birokrasi yang sering mendapat rungutan peniaga kerana ia melambatkan proses pinjaman sedangkan jika ia dipermudahkan, kerajaan juga mendapat untung melalui cukai yang dikutip,” katanya. – MalaysiaGazette