Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat yang beroperasi di Batu Pahat, Johor mengalami kerugian RM1.9 juta selepas sistem akaun syarikat itu diceroboh, menyebabkan berlaku pemindahan keluar wang syarikat kepada pihak tidak dikenali.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita berusia 41 tahun yang merupakan akauntan syarikat itu pada 6.34 petang, 28 Mac lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat itu menggunakan kaedah pembayaran pukal (bulk payment) daripada sebuah bank tempatan untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal secara bulanan.

“Melalui kaedah tersebut pihak syarikat akan mendaftarkan nama, nombor akaun syarikat pembekal dan jumlah pembayaran yang perlu dibuat di dalam sistem tersebut.

“Dengan itu, pada setiap bulan syarikat akan memasukkan nilai bayaran sahaja tanpa mengubah apa-apa data pada nama syarikat penerima dan nombor akaun dan akan klik pada sistem tersebut untuk dihantar kepada pihak bank untuk pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata pada 27 Mac lepas pengadu telah membuat semakan penerima pembayaran pukal itu dan mendapati terdapat 10 transaksi pembayaran kepada 10 syarikat yang telah diubah kepada pihak lain yang tidak dikenali.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kamarul Zaman turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan pembayaran secara dalam talian. – BERNAMA