Khaled Afghanistan
Mohamed Khaled Nordin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju membuat pindaan ke atas beberapa seksyen dalam Akta Universiti dan Akta Kolej Universiti 1971 (AUKU) mengikut keadaan serta kehendak pemegang taruh.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun sudah banyak pindaan dilakukan, kali ini ia menjurus kepada soal pelajar untuk mengawal aktiviti dan kewangan persatuan masing-masing.

“Yang jelas dalam sesi Town Hall ini, kita akan teruskan pindaan mengenai pelajar. Seksyen-seksyen yang banyak telahpun kita pinda, dan kita berada di fasa terakhir peruntukan yang lebih menjurus kepada soal pelajar mengawal aktiviti dan juga kewangan mereka masing-masing.

“Saya percaya ini disambut dan diterima oleh semua pelajar, yang memang mahukan supaya fasa tersebut dipinda dan saya beri jaminan fasa ini memang akan dipinda.

“Dahulu keadaan tidak sama, sekarang dengan kemajuan teknologi dan dunia tanpa sempadan, pengetahuan di hujung jari dan sebagainya, mereka lebih memahami dan berpengetahuan serta lebih bertanggungjawab,” katanya pada penutup Sesi Town Hall bersama Menteri KPT, di sini, hari ini.

Kata Mohamed Khaled, daripada persoalan, perbahasan, pandangan dan cadangan dibangkitkan, pihaknya membenarkan pelajar menentukan jenis aktiviti yang hendak dilakukan dan mereka perlu mengawal atau bertanggungjawab sendiri mengurus kewangan persatuan.

“Dalam soal ini pindaan akan dibuat mengenai memberi kuasa dan peranan kepada persatuan pelajar, tetapi saya juga tertarik mengenai soal mengawal dan melaksanakan tanggungjawab serta panduan yang ditetapkan.

“Dalam konteks ini, kalau AUKU dipinda, segala garis panduan yang hendak diwujudkan boleh dirunding bersama pihak universiti dan persatuan atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelaksanaannya akan ditentukan sendiri oleh mereka.

“Maknanya mereka sendiri mesti bertanggungjawab dan beramanah, mesti ada integriti dan pandai mengurus sebab mereka dipilih. Kalau gagal, mereka sendiri akan turunkan pemimpin itu. Inilah sebenarnya kita bersetuju AUKU dipinda,” katanya.

Kata beliau, walaupun pelajar diberi kebebasan memilih pemimpin dan menentukan apa sahaja, tidak bermakna mereka akan dapat segala-galanya. Takkan dalam dunia pelajar kita ada undang-undang rimba.

“Pelajar tentukan bagaimana panduan dan peraturan untuk pastikan pemimpin mereka menggunakan duit dengan betul dan mengurusnya dengan adil untuk semua persatuan pelajar yang terdapat dalam universiti masing-masing.

“Jika ada masalah, berunding dan berbincanglah dengan pihak universiti. Jangan kita mengambil pendekatan penentangan kepada pihak universiti dan pihak yang ada kuasa dalam universiti. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.

“Berkolaborasi bukan mempunyai sifat penetangan, bukan kita wujud untuk menentang sesiapa sahaja, itu bukan sifat yang kita cari untuk kita lahirkan di kalangan pelajar dan mahasiswa,” ujar beliau.

Mengenai persoalan dibangkit peserta dalam kalangan pelajar yang cuba membuat perbandingan persatuan pelajar dalam negara dengan negara Eropah, Mohamed Khaled menjelaskan, ia tidak wajar dikemukakan.

Katanya, sesi Town Hall itu adalah peluang dan ruang untuk pelajar yang juga pemegang taruh AUKU bercakap mengenai jati diri, keupayaan dan kemampuan mereka.

“Mengapa soalan macam ini boleh timbul? Pada saya, terserah kepada anda yang mengendalikan persatuan masing-masing.

“Saya sebenarnya sudah tidak berminat nak lakukan educational polising dalam universiti. Begitu juga untuk persatuan pelajar atau MPP. Terpulang pada kamu nak ikut timurkah, baratkah, nak buat sendirikah atas kamu sendiri

“Tidak ada masalah bagi kami. Terpulang pada diri kamu sendiri. Tapi, dengan kita memberi lebih kebebasan, kamu kena belajar untuk lebih bertanggungjawab. Itu saja,” katanya.

Sebabnya, tegas beliau, ini adalah proses mengurus kedewasaan mereka dan tujuan masuk universiti bukan saja untuk mendapatkan ilmu, tetapi hendak membangunkan keupayaan pemikiran mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast