Lima individu ditahan polis Johor setelah menyerang seorang peniaga mercun di Kulai, Johor.

KULAI – Seorang peniaga mercun cedera selepas diserang sekumpulan lelaki di bazar Ramadan di Bandar Putra, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa berusia 41 itu yang menyatakan beliau bersama tiga rakannya didatangi empat individu yang mahu berbincang mengenai perniagaan mercun di bazar tersebut.

“Ketika perbincangan difahamkan salah seorang suspek bertindak menendang mangsa di bahagian dada menyebabkanya terjatuh sebelum diserang beberapa individu lain termasuk menggunakan sebatang kayu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan, serta tubuh badannya. Dia telah mendapatkan rawatan di Hospital Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beng Yeow berkata, mangsa turut memberitahu dalam kejadian itu, dia mengalami kerugian sebanyak RM5,405 dipercayai dicuri suspek.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, polis telah melakukan empat serbuan di lokasi berasingan semalam dan menahan lima individu berusia antara 18 hingga 47 tahun.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette