KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menetapkan 8 Mei untuk pengurusan kes permohonan nusyuz pengarah filem, Syamsul Yusof terhadap isterinya, Puteri Sarah Liyana.
Perkara itu ditetapkan Hakim Syarie, Maizatul Aliza Che Din bagi memfailkan penyataan pembelaan.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke mahkamah untuk sebutan kes nusyuz pada pagi ini berikutan berada di luar negara.
“Saya mohon anak guam saya dikecualikan kehadiran untuk prosiding ini. Kami memohon kepada mahkamah menetapkan tarikh lain untuk memfailkan penyataan pembelaan.
“Anak guam kami akan pulang ke tanah air pada jam 11.00 pagi ini.
“Kami juga ingin mengesahkan telah menerima surat saman (nusyuz) daripada plaintif (Syamsul) pada 24 Mac lalu. Kami akan memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan tersebut,” katanya hari ini.
Menerusi perkongsian di media sosial, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berada di Jakarta, Indonesia dipercayai atas urusan kerja.
Sementara itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, tidak membantah permohonan berkenaan.
Pada 21 Mac lalu, pengarah filem ‘ Mat Kilau’ itu telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di mahkamah sama.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Syamsul mendakwa pelakon ‘Andai Itu Takdirnya’ itu sering menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang tanpa pengetahuan beliau sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.
Selain itu, Syamsul juga mendakwa Puteri Sarah telah meninggalkan beliau selama lebih dua tahun dan ia bertentangan dengan kemahuannya.
Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – MalaysiaGazette