Dr. Mohd. Roslan Sulaiman (kiri) menerima mock cheque dari Azrul Reza Aziz (paling kanan) disaksikan oleh Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo, dan Pengerusi UPMH, Datuk Azman Mahmud.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima dividen berjumlah RM235,000 untuk tahun 2022 yang telah dibayar oleh anak syarikat milik UPM iaitu UPM Holdings Sdn Bhd (UPMH) yang ditubuhkan sejak Mei 2004.

Ini menjadikan jumlah dividen terkumpul yang telah dibayar oleh anak syarikat UPM tersebut sejak ditubuhkan adalah sebanyak RM 11.7 Juta.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, anak syarikat UPM ini mampu bersaing sebagai jentera untuk menambah sumber kewangan kepada universiti.

“Ianya merupakan satu kemajuan pada tahun 2022 setelah bergelut selama beberapa tahun, kini inisiatif perniagaan yang dilaksanakan mula memberikan pendapatan dan memberi keuntungan. UPM akan sokong segala bentuk pengurusan yang cekap dan berkesan daripada kumpulan pengurusan kanan UPM Holdings, ini boleh menambah sumber kewangan untuk universiti,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Azrul Reza Aziz menzahirkan rasa terima kasih kepada pengurusan UPM kerana terus menyokong pengurusan UPMH dan berharap prestasi syarikat ini akan terus meningkat sekaligus dapat membanggakan UPM.

“UPMH pada masa akan datang akan mengfokuskan dalam usaha ESG, penanaman semula hutan, pengkreditan karbon dan juga pembekalan anak pokok hutan yang mana UPM sememangnya mempunyai pakar yang terbaik di dalam negara bagi usaha tersebut.

“Inisiatif ini dapat menambah pendapatan sebanyak RM15 juta sehingga RM20 juta dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki UPM dalam bidang perhutanan. Bukan itu sahaja, usaha untuk meneroka perniagaan klinik veterinar di UPM juga akan memberikan keuntungan pada masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette