Rais Hussin (kiri) dan Ambiga

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli PKR, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff gagal memahami isu membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib berkata, kedua-dua mereka tersilap apabila ‘menyasarkan’ Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, kedua-dua mereka perlu memikirkan empat fakta penting berhubung isu terbabit.

“Mengapakah Hakim Tan Sri Zaharah dilantik secara unilateral sebagai Ketua Hakim Malaya pada Jun 2018 walaupun Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak mengesyorkan sesiapa untuk jawatan itu?

“Mengapakah Hakim Datuk Nazlan seorang hakim yang tidak mempunyai pengalaman dalam kes jenayah, ditugaskan menggantikan Hakim Datuk Sofian sejurus selepas pelantikan Tan Sri Zaharah?

“Jika laporan SPRM adalah tepat dan tiga hakim lain telah menolak untuk menggantikan Hakim Datuk Sofian sebelum Hakim Datuk Nazlan bersetuju, siapakah yang menawarkan ketiga-tiga hakim ini dan mengapa mereka menolak tawaran itu?” tanya Noryana.

Beliau yang mesra disapa Yana juga mempertikaikan sama ada wajar untuk menugaskan hakim yang paling kurang berpengalaman untuk mengetuai kes Najib yang disifatkan paling rumit dan berprofil tinggi dalam sejarah Malaysia.

“Soalan kritikal ini menimbulkan kebimbangan mendalam tentang integriti keseluruhan sistem keadilan. Datuk Seri Azalina bertindak dalam bidang tugasnya dengan mengesahkan maklumat yang boleh diakses secara terbuka kepada peguam Datuk Seri Najib.

“Terima kasih Datuk Seri Azalina, kerana menjadi pembela keadilan yang sebenar,” katanya.

Ambiga di Twitternya berkata, pengesahan Azalina berhubung surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap siasatan ke atas Mohd. Nazlan merupakan campur tangan eksekutif.

“Pada pandangan saya, campur tangan eksekutif yang jelas, melampaui bidang kuasa oleh SPRM dan rancangan licik untuk menjejaskan badan kehakiman.

“Semuanya kerana beberapa pelanggar undang-undang yang enggan bertanggungjawab. Adakah ini boleh diterima oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim?” soalnya menerusi Twitter.

Manakala Rais Hussin mendesak Azalina untuk meletakkan jawatan.

Kenyataan Azalina memperlihatkan sikap berat sebelah beliau terhadap penjenayah yang telah disabitkan kesalahan.

“Dia hanya melakukan apa yang dilakukan oleh ahli politik yang melayani diri sendiri! Akrobatik undang-undang tanpa keadilan! Dia harus meletakkan jawatan dan berjuang untuk Najib,” kata Rais Husin di Twitter. – MalaysiaGazette