CEO sebuah perbadanan GLC antara tiga dithan meminta dan menerima rasuah RM600,000 oleh SPRM dan direman membantu siasatan lanjut di Mahkamah Putrajaya hari ini. Ihsan SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah perbadanan berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan itu didakwa menerima dan meminta suapan itu bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal yang merupakan sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk bangunan ibupejabat yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia dalam lingkungan 39 hingga 54 tahun itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 8 malam ketika hadir untuk memberikan keterangan  semalam.

Sumber memberitahu, suspek pertama yang juga CEO itu berusia 52 tahun itu dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui suspek kedua dan ketiga sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di bangunan terbabit.

Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk tujuan permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut SPRM.

Majistret Irza Zulaikha yang mendengar permohonan itu telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 10 April ini ke atas ketiga-tiga suspek itu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi tadi mengesahkan penahanan tiga individu tersebut.

Ketiga-tiga suspek berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009, katanya. – MalaysiaGazette