KUANTAN – Pahang mempunyai kelebihan kerana mempunyai pakej lengkap dalam membangunkan projek infrastruktur pengangkutan yang mampu menarik pelabur ke negeri itu.
Antara projek berimpak tinggi yang mampu menarik pelaburan di Pahang ialah Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Pelabuhan Kuantan serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk perancangan projek lapangan terbang baharu di Gebeng.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian bersedia melakukan perbincangan secara terperinci dan lebih teliti bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Perincian itu kita akan adakan dan cuba melaksanakan yang terbaik. Sudah tentu infrastruktur pengangkutan itu akan membina ekosistem yang penting pelaburan lapangan terbang, ECRL.
“Kalau ada pakej seperti itu, ia ada satu kelebihan, bukan semua negeri ada kelebihan seperti itu dan kita harap negeri yang ada faktor kelebihan itu kita akan bantu.
“Negeri Sembilan pun iri hati dengan Pahang walaupun saya Menteri dari Negeri Sembilan tapi saya sebagai Menteri Pengangkutan, saya tidak ‘bias’ dengan mana-mana negeri,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika sidang media sejurus majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan MCKIP di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau sempat menyaksikan beberapa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Pahang bersama syarikat yang terbabit yang memeterai perjanjian.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Malaysia yang akan siap pada tahun 2026 dan beroperasi pada 2027.
Manakala pembinaan bagi fasa ke-2 dan ke-3 MCKIP sedang berjalan dengan baik, dan dijangka fasa ketiga akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di mana pembangunan ini akan mengubah kawasan MCKIP menjadi Bandar Pelabuhan Kuantan sebagai bandar yang kondusif.
Projek lapangan terbang baharu di Gebeng pula menelan kos belanja RM2 billion memulakan pembinaan pada tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2026.- MalaysiaGazette