Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Dialog Bersama Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di Uitm Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Mana-mana pemimpin politik yang ingin mengadakan sebarang program mahupun libat urus bersama mahasiswa diingatkan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau secara dasarnya tidak menghalang orang politik masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun perlu mematuhi peraturan sedia ada.

“Kalau tanya sikap saya, saya terbuka, tapi adalah peraturan dia, kena maklum, kena bagi tahu dewan mana, itu saja.

“Saya tidak fikir kita harus sekat, melainkan ada sikap yang membawa permusuhan kaum atau agama, itu kita tegas.

“Saya tak peduli, saya tetap nak jaga supaya keselamatan negara terkawal, tidak tolak ansur bab itu.

“Bila kita bagi kelonggaran, tidak bermakna orang boleh masuk begitu saja, dia kena ada peraturan, kena maklum,” katanya semasa sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Muda, Syed Saddiq berhasrat mengadakan Program Jelajah Mansuh AUKU dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma di Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada 30 Mac 2023.

Bagaimanapun hasrat Ahli Parlimen Muar itu tidak kesampaian apabila program itu tidak mendapat kebenaran dan beliau dihalang memasuki UiTM.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengingatkan mana-mana ahli politik tidak menjejaskan keharmonian sedia ada di dalam kampus apabila menganjurkan sesuatu program.

“Hal Ehwal Pelajar (HEP) harus mengawal, tahu, lebih terbuka, lebih bebas, tidak terlalu mengongkong.

“Kena pastikan tidak ada unsur yang boleh merosakkan suasana harmoni dalam kampus, itu saya percaya kita tidak ada tolak ansur,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan mahasiswa mahupun warga universiti bebas untuk membuat teguran mahupun kritikan terhadap kerajaan.

“AUKU itu penting, peruntukan ini tentang kebebasan boleh diperhalusi atau kebebasan akademik pensyarah profesor boleh menulis berikan pandangan mereka termasuk kritikan.

“Tetapi beberapa peruntukan lain itu penting, sesetengah orang kata batalkan, itu saya tidak fikir sesuai.

“Kita boleh pinda beberapa peruntukan yang perlu di perjelaskan,” katanya. – MalaysiaGazette