Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Tetuan Shafee & Co perlu mengemukakan permohonan secara rasmi terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya berhasrat untuk mendapatkan hasil siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawapan balas beliau kepada peguam Datuk Seri Najib Razak itu selaras dengan jawapannya di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu dan fakta yang beliau sedia maklum dengan perkara tersebut.

Ia bagi melaksanakan tanggungjawabnya selaku anggota pentadbiran kepada Parlimen.

“Dalam jawapan berkenaan, saya telah menjelaskan bahawa SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari 2023 telah memaklumkan stau laporan SPRM terhadap Datuk Mohd Nazlan Ghazali telah dikemukakan pada tarikh yang sama kepada Ketua Hakim Negara berhubungan perlanggaran di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Saya juga telah memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Azalina, kerajaan sentiasa menghormati dan berpegang kepada prinsip doktrin pengasing kuasa dalam apa-apa perkara berkaitan di bawah bidang kuasa Badan Kehakiman.

Semalam, Azalina dilaporkan telah mengesahkan siasatan SPRM ke atas Nazlan menyimpulkan Hakim Mahkamah Rayuan itu melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Nazlan merupakan hakim yang telah mendengar dan menjatuhkan hukuman bagi kes penyewelengan dana SRC International bernilai RM42 juta membabitkan Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette

Surat SPRM rumus Nazlan langgar kod etika hakim sahih – Peguam