Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Berlaku adil sangat penting dalam sistem kehakiman negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem keadilan di negara ini tidak seharusnya berlaku zalim ke atas mana-mana individu.

Ahmad mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Justeru Ahmad menegaskan, berdasarkan laporan SPRM itu adalah penting untuk memperbetulkan kesilapan yang berlaku terhadap kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Laporan yang perlu sama-sama kita baca dan teliti. (Dalam BH 7/4/23). Tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Nazlan.

“Berlaku adil dalam sistem kehakiman negara ini sangat penting. Jangan kita berlaku zalim kepada sesiapa jua.

“Maka eloklah diperbetulkan agar apa yang berlaku kepada Datuk Seri Najib Razak itu diperbaiki segera,” ciap Ahmad menerusi akaun Twitter beliau.

Azalina semalam mengesahkan Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Perkara tersebut terkandung dalam hasil siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Azalina dilapor menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Mohd Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Dalam surat itu, firma guaman berkenaan bertanya sama ada SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Dalam surat balas kepada firma guaman itu, Azalina berkata, beliau boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan telah dijawab secara afirmatif.

Sebelum ini surat yang didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk menyemak sabitan dan hukumannya.

Surat yang bertarikh 20 Februari itu menyatakan siasatan SPRM mendapati terdapat isu salah laku oleh Mohd Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara.

Laporan itu juga mendakwa tiga hakim menolak untuk mengadili Najib sebelum Mohd. Nazlan dilantik.

Pada 24 Februari lalu media melaporkan, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC.

Beliau memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta. – MalaysiaGazette