SHAH ALAM – Pas Selangor menyifatkan kenyataan balas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa kelmarin, sebagai lemah dan tidak tegas.
Ketua Penerangannya, Nushi Mahfodz berkata, kenyataan Perdana Menteri itu sebagai ‘heinous crimes’ dilihat sangat lemah kerana Israel tidak pernah menghormati hak kesejahteraan rakyat Palestin yang dirampas sejak 1948.
“Selaku Perdana Menteri, beliau dan kerajaan Madani perlu lebih tegas bersuara mengenai penindasan terhadap rakyat Palestin yang tidak berkesudahan termasuk meluaskan peranan tentera Malaysia sebagai pasukan pengaman.
“Pas Selangor sedia bersama kerajaan Malaysia menghantar bantuan perubatan ke rantau yang bergolak itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, seruan Anwar terhadap campur tangan Majlis Keselamatan PBB juga perlu diterjemahkan dalam bentuk usul khas, iaitu merujuk tentera pertahanan Israel sebagai kumpulan pengganas.
Katanya, penjenayah antarabangsa itu harus diheret ke muka pengadilan walaupun diketahui tidak mendapat sokongan dari kuasa veto Amerika Syarikat.
“Sekurang-kurangnya Israel terus ditekan masyarakat dunia.
“Wisma Putra pula hanya mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan itu ke atas rakyat Palestin, tetapi menekankan pengiktirafan negara Palestin yang bebas berdasarkan perjanjian sempadan sebelum 1967,” katanya.
Justeru, tegasnya, Pas Selangor mendesak Perdana Menteri mengulangi pendirian dan kenyataannya oleh Wall Street Journal pada 26 Januari 2012 bahawa beliau menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang pada waktu itu.
Ini katanya, bertentangan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdorgan yang memberi amaran akan menggerakkan tentera dan rakyatnya bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa, baru-baru ini.
Pas Selangor lebih awal mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan tentera Israel ke atas Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu yang juga disiarkan dalam akhbar tempatan.
“Sekiranya Anwar berani memberi amaran kepada orang Melayu untuk tidak angkuh dan sombong sekembali dari lawatan rasmi ke Kemboja, mengapa tiada amaran sama ditujukan kepada zionis Israel?
“Sedangkan Allah telah menggunakan perkataan angkuh dan sombong kepada Firaun dan tenteranya seperti terkandung dalam surah Al-Qasas ayat 29,” ujar beliau.
Nushi berkata, Pas Selangor komited mempertahankan kemuliaan agama Islam dan terus berjuang mewujudkan negeri itu yang lebih bersih, sejahtera dan toleran.
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPNT) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan tentera Isreal ke atas umat Islam di Palestin, terutamanya di bulan Ramadan penuh barakah ini.
DPPNT berpandangan tindakan zionis Israel yang saban tahun melakukan perbuatan keji membantai umat Islam mesti dipandang serius oleh Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) bagi mengekang kezaliman ini.
Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa menyeru dan mengajak seluruh pemuda di Terengganu dan Malaysia khususnya untuk bersama mengecam tindakan yang tidak bermaruah itu.
Kata beliau, tindakan zionis Israel yang tidak pernah diiktiraf negaranya itu telah menyebabkan hampir 300 cedera, malah terdapat kes seorang pemuda yang cuba menyelamatkan seorang wanita terbunuh akibat perbuatan kejam dan biadab tentera penjajah zionis. – MalaysiaGazette