Ahmad Rosli Mohd Sham

KUALA LUMPUR – Pendapat Majlis Peguam dan beberapa pihak lain bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Mahkamah Tinggi di luar bidang kecekapan atau pemahaman badan itu adalah salah.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata, pandangan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk untuk menyiasat Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak tepat.

Menurut beliau, hak di bawah Perlembagaan kuasa SPRM untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa Hakim Mahkamah Atasan sebenarnya telah dijelaskan dan diperakui.

Ia antaranya melibatkan kes Haris Fathillah Mohamed Ibrahim & Anor lwn Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia (No. Rujukan Awam: 06(RS)-4-07/2022(W)) pada 24 Februari 2023.

Tambahnya, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun menyatakan satu set protokol sepatutnya dipatuhi apabila menyiasat Hakim Mahkamah Atasan, namun Ketua Hakim Negara itu turut menegaskan, “Hakim Mahkamah Tinggi yang berkhidmat tidak terlepas daripada siasatan jenayah atau pendakwaan. Mereka tidak perlu digantung atau dibuang sebelum mereka boleh disiasat atau didakwa.”

Tengku Maimun berkata demikian ketika mempengerusikan Mahkamah Persekutuan berhubung siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Penghakiman selanjutnya menyatakan bahawa walaupun hakim dianggap sebagai warganegara yang mempunyai moral yang tertinggi, “Oleh itu mereka tidak boleh sedikit pun tercela, kerana jika mereka melakukan jenayah, mereka perlu lebih bertanggungjawab untuk menjawabnya.”

“Oleh itu, adalah tidak benar jika Badan Peguam Malaysia menyatakan bahawa SPRM sebagai badan penguat kuasa tidak kompeten atau tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat bekas Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Rosli.

Pengajar Khas Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, SPRM diwujudkan sebagai satu entiti untuk memerangi rasuah di Malaysia.

Ia diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu, perlu juga diambil perhatian bahawa tanpa kecekapan SPRM dalam menyiasat kes SRC International, kes tersebut tidak akan dapat bertahan dalam perbicaraan di mahkamah, lebih-lebih lagi mendapat sabitan yang kukuh serta melepasi beberapa
peringkat rayuan oleh defendan.

“Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tiada sesiapa atau pihak yang berhak dikecualikan daripada penyiasatan oleh penguat kuasa undang-undang, sama ada anggota pentadbiran, badan perundangan atau badan kehakiman,” kata Ahmad Rosli.

Sementara itu Ahmad Rosli yang juga Bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara berkata, tugas SPRM menyiasat Mohd. Nazlan berakhir sebaik menyerahkan laporan kepada Tengku Maimun.

“Kes itu kini tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Ketua Hakim Negara sama ada untuk memulakan sebarang tindakan seperti yang digariskan di bawah Fasal 3 Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Yang memperuntukkan penubuhan tribunal untuk meneliti sebarang pelanggaran peruntukan kanun etika berkenaan hakim,” tegas beliau.-MalaysiaGazette