Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda kesihatan untuk semua.

Malah ‘Kesihatan Untuk Semua’ diambil sebagai tema sempena meraikan Hari Kesihatan Sedunia yang disambut hari ini.

Anwar berkata, hak untuk mendapatkan kesihatan yang baik merupakan hak asasi semua individu.

“Tema yang dipilih pada tahun ini ‘Kesihatan Untuk Semua’ adalah selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia Madani.

“Di mana kerajaan mengiktiraf hak untuk kesihatan sebagai hak asasi manusia yang penting bagi mencapai kehidupan yang bermaruah.

“Hak untuk kesihatan ini seharusnya dinikmati oleh setiap orang secara saksama tanpa mengira status atau sebarang perbezaan dan diskriminasi,” kata Anwar dalam kenyataan.

Sementara itu, Anwar turut menzahirkan penegasan bahawa kerajaan akan terus mengadakan hubungan erat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kerjasama erat yang terjalin lebih 60 tahun itu demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan kumpulan rentan.

“Justeru, sambutan Hari Kesihatan Sedunia ini turut mempamerkan perkongsian serta kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan WHO yang telah terjalin sejak 65 tahun yang lalu.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda Kesihatan Untuk Semua.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan WHO bagi mempromosi kesihatan, memelihara kesejahteraan serta memberi perkhidmatan kepada golongan rentan agar setiap orang di mana sahaja boleh mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan,” kata Anwar.

WHO meraikan ulang tahun ke-75 penubuhannya hari ini.-MalaysiaGazette