Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Program Kongsi Rezeki Ramadan di Rumah Amal Asnaf Al- Barakh, Keramat AU3, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai surat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan salah laku hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya maklum mengenai surat itu melalui laporan-laporan media.

“Tidak (saya tidak sedar kewujudan surat SPRM), saya tidak tahu, saya baca di media sahaja,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan ziarah anak-anak yatim di Rumah Amal Asnaf Al- Barakh, Keramat AU3, Taman Zoo View.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai surat  tular didakwa daripada Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun bertarikh 20 Februari,yang menyatakan siasatan SPRM telah menemui “isu salah laku” Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim”.

Jelas Ismail Sabri lagi, beliau juga tidak maklum tentang perincian surat yang tular baru-baru ini.

“Saya pun tak jelas surat itu tentang apa. Perincian surat itu kita tidak tahu,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan surat berkenaan menyatakan kesalahan didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila Nazlan, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi mengetuai perbicaraan Najib atas tuduhan rasuah membabitkan dana milik SRC International.

Ia termasuk fakta siasatan yang dijalankan oleh SPRM seperti yang dilampirkan.

September lalu, Azam berkata siasatan terhadap dakwaan Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim telah selesai, tetapi butiran lanjut tidak dapat didedahkan.

Pada Februari lalu, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol dalam menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Siasatan itu timbul selepas dakwaan dibuat berhubung jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan kerajaan yang menjadi pusat skandal kewangan membabitkan berbilion ringgit. – MalaysiaGazette