KUALA LUMPUR – Ketua Whip Pembangkang dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Fadillah melalui Twitternya sebentar tadi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Petra Jaya itu tidak memperincikan isi perbincangan dengan Takiyuddin.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang perlu berbincang dengan Fadillah mengenai isu peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka.

“Hari ini berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan Ketua Whip Pembangkang dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Pada 4 April lalu Anwar mengulangi kesediaannya memberi peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian sekiranya enggan membuat rundingan.

“Saya telah sebut di sini (Dewan Rakyat), kelulusan telah diputuskan, cuma Timbalan Perdana Menteri, Petra Jaya (Datuk Seri Fadillah Yusof) mengetuai pasukan (rundingan) dan minta supaya pembangkang mengadakan rundingan tentang parameter yang diluluskan.

“Sudah ada kelulusan dan biar ada rundingan kerana ini juga perkara yang dilakukan dulu oleh Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Sebelum itu tiada kelulusan untuk berbincang (ketika era Kerajaan Perikatan Nasional),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan mengenai peruntukan kepada pembangkang, mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen PH (Pakatan Harapan) hari ini balik gembira sebab dapat peruntukan RM800,000. Kami tak dapat apa-apa.

“Jadi, saya minta kepada Perdana Menteri tolong bagi penjelasan, kalau tak boleh bagi banyak, bagi sikit sebab kami nak buat beli kurma buat rakyat miskin,” kata Shahidan.

Mendengar pertanyaan itu, Anwar menjawab kelulusan mengenai perkara itu telah pun dibuat sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan, Anwar bertegas untuk tidak pernah menolak prinsip bagi memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Tindakan itu selari dengan amalan dipraktikkan kerajaan yang diterajui bekas Pedana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -MalaysiaGazette.