Syafiq (kiri) meraikan anak yatim Rumah Amal Al-Firdaus dalam majlis penyampaian sumbangan dan duit raya di Plaza Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM – Bulan Ramadan menjadi rebutan dan peluang untuk pelbagai pihak melipatgandakan pahala menerusi penganjuran program ibadah.

Ramadan juga bulan mulia untuk pihak berkenaan menganjurkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Bagi Bob Rock Clothing (BRC), premis pakaian saiz besar untuk lelaki dan wanita bersama kompleks beli belah Plaza Shah Alam di sini, turut mengambil kesempatan mengimarahkan bulan mulia ini.

Kali ini, usaha sama kedua pihak ini menganjurkan majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan berbuka puasa bersama anak yatim dan asnaf Rumah Amal Al-Firdaus, Denai Alam.

Majlis yang ceria dengan telatah dan gelagat 45 anak-anak yatim berusia dari satu hingga enam tahun itu berlangsung di Anjung Lebaran Plaza Shah Alam di sini, malam tadi.

Sebahagian daripada 45 anak yatim dan asnaf Rumah Amal Al Firdaus yang diraikan dalam majlis berbuka puasa dan duit raya di Plaza Shah Alam.

Menurut Pegawai Pembangunan Perniagaan BRC, Syafiq Azizan, program itu bermula dengan majlis penyerahan bahan keperluan di sebelah petang yang terbuka kepada orang ramai untuk menyumbang.

Katanya, sumbangan itu adalah untuk keperluan anak yatim dan asnaf Rumah Jagaan Amal Al-Firdaus.

“Program malam tadi diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan diakhiri dengan majlis penyampaian duit raya kepada 45 anak-anak dari Rumah Jagaan Amal Al-Firdaus.

“Program seumpama ini merupakan aktiviti rutin BRC setiap kali tibanya bulan Ramadan dan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Rumah Amal Al-Firdaus, Nurul Azizah Mohd Nasir.

Beliau mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) agar lebih banyak lagi golongan yang memerlukan dapat diraikan sempena Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengurus Rumah Amal Al Firdaus, Nurul Azizah (dua dari kiri) menerima barang keperluan sumbangan orang ramai di Plaza Shah Alam malam tadi.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program CSR Bob Rock, boleh layari laman sesawang https://www.bobrock.com.my/csr@brc.

Antara barangan diperlukan untuk kegunaan anak yatim ini ialah  bantuan kewangan, lampin pakai buang (saiz S-XL), pakaian harian (untuk umur 2 tahun hingga enam tahun), berus gigi dan ubat gigi.

Sumbangan juga diperlukan seperti sabun mandi, sabun basuh baju, syampu kanak-kanak, tuala, ubat-ubatan seperti krim ekzema, tikar dan pelapik lembut berlipat.

Selain itu, keperluan makanan harian seperti beras, susu, gula, minyak dan lain-lain juga diperlukan.

Sebarang pertanyaan mengenai kebajikan anak yatim itu boleh berhubung dengan Deen di talian 016-9858197 dan Zuraida 012-3274967. – MalaysiaGazette