Mahfuz Omar.-Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden parti Amanah, Datuk Mahfuz Omar memberi amaran kepada pihak terbabit supaya berhenti membuat spekulasi ‘songsang’ dan fitnah terhadapnya berkaitan isu pemindahan premis judi Sports Toto di Parlimen Pokok Sena.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan menambah jumlah rugi daripada RM50,000 kepada RM120,000 kepada Mahfuz kerana didakwa bekas Ahli Parlimen Pokok Sena memfitnahnya.

Beliau berkata, sejak itu banyak pihak memanipulasi dan melakukan dakwaan songsang ke atasnya.

Kata Mahfuz, beliau telah mengheret Sanusi ke muka pengadilan selepas pemimpin itu menuduhnya mempertahankan pemindahan premis judi di Pokok Sena.

“Pemindahan premis judi berkenaan langsung tidak ada kaitan dengan saya. Malah sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena ketika itu telah pun membuat bantahan terhadap pemindahan Sports Toto tersebut kepada Majlis Bandaraya Alor Setar.

“Akhirnya pemindahan itu tidak diteruskan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sejurus selepas mahkamah membuat keputusan, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, beliau akan berusaha untuk membayar apa jua nilai yang dikenakan terhadapnya.

Pada masa sama, menerusi laman Facebook Sanusi berkongsi semula kenyataannya terhadap  Mahfuz dan mengulas tentang insiden empat tahun lepas itu.

Difahamkan Sanusi memberi gambaran bahawa kenyataannya didapati fitnah oleh mahkamah dibuat dalam usaha menyekat kegiatan judi.

Kata Mahfuz, terdapat penyokong Perikatan Nasional (PN) bertindak keterlaluan dengan mendakwanya menyaman Sanusi kerana mahu mempertahankan aktiviti judi.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan saman fitnah saya membuktikan dakwaan Sanusi yang mengaitkan saya dengan isu tersebut jelas adalah fitnah.

“Dengan ini harap tiada lagi pihak cuba menyelewengkan fakta kes berkenaan. Jika ada pihak kaitkan saya dengan sebarang maksud menyokong atau pertahankan judi, mereka perlu tarik balik tulisan itu atau tindakan lanjut saman akan di ambil.

“Kalau koyak, jangan fitnah,” ujarnya.

Saya akan berusaha bayar berapa pun harganya – Sanusi

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz mendakwa Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif. – MalaysiaGazette