Kedah Aerotropolis
Muhammad Sanusi Md Nor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi MD Nor bersedia membayar ganti rugi RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan semalam.

Tulis Sanusi dalam Facebook beliau, beliau akan bertanggungjawab untuk melunaskan tuntutan selepas mahkamah mendapatinya bersalah melakukan kenyataan fitnah.

Malah kata Sanusi, walauapapun jumlah ditentukan oleh mahkamah beliau akan berusaha untuk membayarnya secepat mungkin.

“Saya didapati bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi, kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50,000 didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat ‘counter appeal’ untuk tuntut lebih tinggi. Apabila sudah didapati bersalah, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha bayar berapa pun harganya,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Mahkamah Rayuan memerintahkan Muhammad Sanusi Md Nor membayar ganti rugi kepada Mahfuz Omar selepas kenyataan fitnah empat tahun lepas.

Dalam pada itu, Sanusi turut meletakkan kembali kenyataan beliau berkaitan isu judi di negeri tersebut.

Posting kenyataan fitnah Sanusi terhadap Mahfuz.

Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar gantirugi.

”Sebagai ahli dan pimpinan PAS serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah, sebaik mengambilalih kerajaan sejak 17 Mei 2020, maka satu langkah besar dibuat mulai tahun 2021-2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur dari 2021 sehingga Disember 2022.

”Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini,” ujarnya. 

Untuk makluman, pada November 2021, Mahfuz menang saman fitnah yang difailkan terhadap Sanusi, dengan Mahkamah Tinggi mengarahkan Sanusi membayar RM50,000 kepada Mahfuz.

Sanusi didakwa memfitnah Mahfuz selaku wakil rakyat Pokok Sena terlibat dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu menerusi laman sosialnya pada tahun 2019. -MalaysiaGazette

Rayuan Sanusi ditolak, ganti rugi kepada Mahfuz ditambah kepada RM120,000