Muhyiddin saman
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu lebih lantang bersuara menentang kezaliman regim Israel terhadap rakyat Palestin.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia mempunyai peranan menghalang kezaliman Israel daripada berterusan.

Terbaharu Israel melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dengan menyerang puluhan jemaah di Masjid Al-Aqsa dan regim itu dilaporkan turut mengebom rumah penduduk Palestin.

“Perbuatan biadab rejim zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

“Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, serangan keterlaluan dan provokatif Israel memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur Tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai.

Bekas perdana menteri itu berkata, peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang mencapai kemuncaknya beberapa hari kebelakangan ini.

“Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.

“Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang telah secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka,” kata beliau dalam kenyataan.

Media melaporkan, polis Israel menyerang dan menangkap lebih 400 jemaah Palestin dalam serbuan ganas di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Polis Israel menyerang para jemaah dengan alasan mahu ‘menahan pemberontak’ yang mengunci diri di dalam masjid itu.

Saksi Palestin berkata, polis Israel menggunakan kekerasan yang berlebihan apabila mereka mula melempar bom tangan dan gas pemedih mata ke arah para jemaah yang sedang menunaikan solat dan bertadarus al-Quran

Mereka turut bertindak kejam memukul para jemaah menggunakan belantan dan senapang hingga menyebabkan kecederaan dan sesak nafas. – MalaysiaGazette