Saifuddin Nasution Ismail

BAYAN LEPAS – Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor dan Kedah telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan pertama membabitkan dua negeri itu telah selesai manakala perbincangan bagi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan belum berlangsung namun sudah dijadualkan.

“Perbincangan pusingan pertama membabitkan pimpinan parti di pusat sudah bersetuju untuk meletakkan beberapa parameter yang telah saya umum baru-baru ini.

“Bagi rundingan negeri pula, Selangor sudah (berunding) Kedah semalam berlaku rundingan manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah dijadualkan cuma belum adakan perbincangan.

“Semua perbincangan kita serahkan kepada peringkat negeri sekiranya tidak dapat diselesaikan baru ia diuruskan pimpinan pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Bayan Baru, di sini, hari ini.

Tambah Saifuddin, dua hari lalu beliau berada di Terengganu untuk menyampaikan taklimat berhubung tatacara rundingan antara dua parti komponen Kerajaan Perpaduan tersebut dan dijangka memberi taklimat sama di Kelantan dalam masa terdekat.

“Segala keputusan yang diputuskan pada peringkat sekretariat pusat perlu diperturunkan ke peringkat bawah.

“Ini penting kerana parameter yang telah dipersetujui diikuti dalam rundingan tersebut bagi memandu ke arah pengagihan kerusi menjelang PRN.

“Contohnya, kerusi penyandang itu kekal,” katanya.

Ketika diminta mengulas jangka masa rundingan kerusi PRN selesai sepenuhnya, beliau secara ringkas memaklumkan sebelum penamaan calon. – MalaysiaGazette