KUALA LUMPUR – Polis Johor menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa dua suspek kes video tular telah diperagakan semasa dibawa ke mahkamah untuk proses reman.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, laporan yang memetik kenyataan Dobby Chew iaitu Ketua Biro Hak Asasi Manusia MUDA adalah tidak benar.
Menurut beliau, kedua-dua suspek bersama beberapa suspek lain (berlainan kes) telah dibawa dengan kenderaan polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru kelmarin.
“Mereka seterusnya dibawa berjalan melalui laluan lazim ke bangunan mahkamah untuk proses reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, sepanjang perjalanan di laluan lazim tersebut, IPD Seri Alam tidak mengatur mana-mana pihak atau jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat rakaman atau liputan.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran prosedur semasa proses reman berjalan.
Artikel berkaitan:
- Pasangan berkelakuan tidak sopan dalam Axia merah ditahan
- Pasangan kekasih berkelakuan tidak senonoh direman
Kelmarin pasangan kekasih yang disyaki berkelakuan melanggar kesopanan di tempat awam telah ditahan secara berasingan petang tadi.
Suspek pelaku lelaki warga tempatan berusia lingkungan 22 tahun manakala suspek wanita pula berusia 17 tahun.
Masing-masing ditahan di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang Johor Baharu hasil siasatan polis ke atas video berdurasi 23 saat yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Hasil siasatan juga mendapati kejadian yang dipaparkan dalam video itu telah berlaku pada 29 Mac lalu jam 3.03 petang di tempat letak kenderaan di kawasan Taman Kota Masai, Pasir Gudang. – MalaysiaGazette