KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan meneruskan dasar untuk bersahabat dengan China walaupun terdapat pertindihan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.
Menurut Anwar, China merupakan kuasa ekonomi dan negara itu perlu dijadikan sahabat.
Bagaimanapun beliau menegaskan, Malaysia akan mengekalkan prinsip bahawa terdapat kawasan di Laut China Selatan dalam kawasan Malaysia.
“Semalam keluar lagi kenyataan (dari pembangkang) Anwar salah kerana dia tolak ansur dengan China nak bagi kawasan Laut China Selatan berunding dengan China. Tak betul.
“Saya pergi ke negara China depan Presiden China saya kata saya nak berkawan, China sekarang kuasa ekonomi. Saya nak berkawan.
“Tetapi saya kata kita jaga prinsip. Kita negara madani dan Petronas sudah buat cari gali besar-besaran di Laut China Selatan,” kata Anwar.
Anwar menjawab tuduhan pembangkang yang mendakwa beliau berunding dengan China mengenai wilayah Malaysia yang menjadi tuntutan China ketika mengadakan lawatan ke negara itu baru-baru ini.
Tambah Anwar, beliau telah memberi arahan kepada Petronas agar meneruskan kerja cari gali minyak di kawasan yang menjadi wilayah Malaysia di Laut China Selatan.
“Saya beri kelulusan arah teruskan. Tetapi kebetulan negara China tuntut kawasan tengah laut itu. China kata ini kawasan dia.
“Saya jawap kepada kepimpinan negara China kami terpaksa teruskan projek itu kerana ini kawasan kami. Lautan bawah bidang kuasa Malaysia kami teruskan. Tapi dia (China) kata dia pun tuntut.
“Tak apa kami teruskan cari gali minyak, sementara runding bolehlah runding. Tetapi dia (pembangkang) pusing kata saya runding seolah projek tak jalan,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di Parlimen Lembah Pantai.
Sejumlah 3,300 asnaf dan fakir miskin di seluruh Kuala Lumpur yang meliputi 11 kawasan Parlimen menerima sumbangan tersebut yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengecam kenyataan Anwar yang menyatakan keterbukaan Malaysia berunding dengan China berhubung kebimbangan mengenai aktiviti cari gali oleh Petronas di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, kenyataan terbabit boleh mengundang risiko ancaman kedaulatan negara, cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.-MalaysiaGazette
dia spin lg sedaghe… tsmy mngecam kerana dia ckp bleh berunding, xde plak tsmy ckp ttg ptronas tpksa henti projek cari gali.. jnis putar alam cmni xlayak jd pmimpin.. ko nk bkwn dgn china itu truskan, tp bab wilayah kedaulatan tiada rundingan sbb tu hak mutlak malaysia.. xkn jd pm bru 5bln dh nk gadai negara?