KUALA LUMPUR – Hasrat skuad ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki kebangsaan untuk merangkul gelaran kejohanan SEA 7S 2023 tidak kesampaian selepas tewas di tangan Taiwan 14-17, pada aksi final di Stadium Nasional di Singapura, semalam.
Namun, pasukan negara yang diberi julukan skuad Bunga Raya memulakan permainan dengan cemerlang apabila Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi berjaya melakukan try dan melengkapkan conversion untuk mendahului 7-0 seawal minit ketiga.
Tersentak dengan itu, Taiwan tidak mengambil masa lama untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi try dan conversion pada minit keempat sebelum mendahului 12-7 apabila berjaya memperoleh try seminit kemudian.
Bersambung babak kedua, permainan bertambah sengit dengan menyaksikan Malaysia kembali di depan 14-12, menerusi try Mohamad Shah Izwan Nordin dan conversion Muhammad Azwan pada minit ke-13.
Bagaimanapun, Taiwan berjaya mencuri lima mata hasil try pada penghujung perlawanan untuk menoktahkan kemenangan 17-14.
Kejohanan selama dua hari bermula semalam itu disertai enam pasukan lelaki dan empat pasukan wanita, namun Malaysia hanya menghantar wakil bagi saingan lelaki.
Ragbi 7’s tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023 Mei ini, namun berpeluang besar untuk kembali mewarnai temasya sukan dwitahunan itu pada edisi berikutnya iaitu di Thailand pada 2025, Kuala Lumpur (2027) dan Singapura pada 2029. – BERNAMA