Menteri Komunikasi Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat pada Majlis Cahaya Ramadan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR — Syarikat penyedia Internet, TIME Fiber dijadual akan membuat pengumuman minggu depan berhubung penurunan harga perkhidmatan itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, langkah itu ekoran pengumuman Telekom Malaysia (TM) yang menurunkan harga Unifi buat pertama kali pada harga RM69 sebulan bagi pakej 30 Mbps.

“Saya difahamkan TIME akan buat pengumuman, insya-Allah di kawasan ini, mungkin hujung minggu depan. Kita tunggu pengumumannya,” katanya kepada media selepas menghadiri program Cahaya Ramadan anjuran TM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, petang tadi.

Harga Unifi sebelum ini adalah RM89 bagi pakej 30 Mbps.

Fahmi menambah pelan RM69/bulan adalah 22 peratus lebih mampu milik daripada apa yang ada di pasaran yang biasanya ditawarkan pada harga RM89/bulan.

Ini bermakna penjimatan sebanyak RM480 ​​sepanjang tempoh kontrak 24 bulan.

Pada Februari lalu, Ahmad Fahmi melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap bagi membantu golongan B40, veteran, orang kelainan upaya serta warga emas dengan harga lebih rendah.

Inisiatif itu yang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan menurunkan kos sara hidup rakyat, menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had pada harga hanya RM69 sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast