KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada bulan Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus kepada 591,900 orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara terus stabil sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.

Justeru, bilangan tenaga buruh pada Februari 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang (Januari 2023: 16.76 juta orang), merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi iaitu pada 69.9 peratus (Januari 2023: 69.8%).

Situasi yang menggalakkan ini berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend penurunan.

Menurutnya, pada Februari 2023, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, merekodkan 16.19 juta orang, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan (Januari 2023: 16.16 juta orang), sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan Februari terus menunjukkan trend penurunan sebanyak 0.7 peratus kepada 591,000 (Januari 2023: 596,100 orang).

Oleh itu, kadar pengganguran pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.5 peratus (Januari 2023: 3.6%).

“Kategori pekerja meliputi 75.7 peratus, yang secara konsisten merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja pada Februari 2023. Kategori ini mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.25 juta orang (Januari 2023: 12.24 juta orang). Penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan kenaikan 0.5 peratus merekodkan 2.89 juta orang pada Februari 2023 (Januari 2023: 2.88 juta orang),” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit; dan pentadbiran & khidmat sokongan.

Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan trend yang sama.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.3 peratus daripada jumlah penganggur pada Februari 2023.

Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 1.3 peratus merekodkan 475,500 orang (Januari 2023: 481,600 orang), daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.0 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.3 peratus.

Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, meningkat 1.7 peratus kepada 116, 400 orang (Januari 2023: 114,500 orang).

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.3 peratus, dengan bilangan seramai 320,800 orang (Januari 2023: 11.5%; 328,800 orang).

Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada kadar 7.0 peratus, mencatatkan 450,200 penganggur (Januari 2023: 7.0%; 449,700 orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Februari 2023 terus berkurang sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang (Januari 2023: 7.24 juta orang).

Antara sebab utama mereka yang berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (43.2%), diikuti oleh bersekolah/ latihan dengan 40.6 peratus.

“Pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi dan keperluan kepada lebih ramai pekerja bagi menyokong permintaan domestik yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan dalam permintaan buruh.

“Justeru, momentum pemulihan pasaran buruh dijangka berterusan sejajar dengan jangkaan trend pertumbuhan ekonomi negara, yang kekal menggalakkan pada 2023.

“Oleh itu, pasaran buruh juga dijangka meneruskan momentum pertumbuhan yang stabil pada bulan-bulan berikutnya, selari dengan prestasi ekonomi semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast