KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengesyorkan kerajaan supaya membuat pertimbangan sewajarnya dalam menangani cadangan agar umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun.
Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, perkara itu perlu dilihat kepada impak secara keseluruhan termasuklah terhadap masa depan negara.
“Pertama, isu ini dibangkitkan kerana keresahan segelintir pihak bahawa tabungan persaraan rakyat Malaysia tidak mencukupi bagi kebanyakan rakyat. Ianya perlu dilihat melalui beberapa sudut.
“Antaranya, kerisauan kerana tabungan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kian menyusut dan kadar dividen KWSP tidak begitu tinggi sejak negara dilanda Covid-19.
“Kerisauan juga disebabkan oleh kos sara hidup yang kian meningkat hingga tabungan hari tua tidak mencukupi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kedua Shahir berkata, jika dipanjangkan usia persaraan, ia menutup ruang anak-anak muda graduan untuk masuk ke alam pekerjaaan, sekiranya tiada peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
Jelasnya, peluang pekerjaan terbuka apabila ada kekosongan jawatan akibat persaraan dan anak-anak muda terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk masuk ke alam pekerjaan kerana tiada kekosongan jawatan.
“Ketika usia emas, 65 tahun, ramai yang sudah mahu berehat dan fokuskan kepada urusan diri sendiri, bukannya masih terkejar-kejar dengan jadual kerja yang ketat.
“Pada masa yang sama, dengan keadaan teknologi yang makin pesat berkembang, adalah agak kekok untuk mereka diusia 65 tahun untuk belajar teknologi baharu,” ujarnya.
Dengan memberikan contoh, Shahir berkata, dahulu jualan dibuat di kedai, namun kini penjual boleh menjual produk mereka menerusi jualan dan kempen secara online di TikTok.
Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik untuk semua dengan mungkin memberikan lebih banyak insentif kepada warga emas atau pesara.
Pada masa sama katanya, kerajaan perlu menurunkan kos sara hidup agar semua tidak terbeban dengan situasi kewangan semasa. – MalaysiaGazette