KUALA LUMPUR – Pasaran modal dan sekuriti bukan sahaja industri yang berpotensi besar malah menawarkan satu bentuk kerjaya yang menarik, mencabar dan lumayan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendedahan serta latihan berstruktur kepada graduan dalam industri dan pasaran itu amat dialu-alukan apatah lagi kementerian bukan sahaja mahu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Namun jelas beliau, memastikan yang sebahagian besar graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan dengan gaji atau pulangan premium yang melebihi pendapatan asas pemegang ijazah.
“Kegagalan pasaran untuk menawarkan pendapatan premium adalah antara punca yang menolak keluar modal insan kita ke negara-negara jiran sekali gus mengurangkan kepakaran dan bakat dalam negara.
“Oleh sebab itulah, kita sangat berharap yang pihak industri di Malaysia akan bersedia untuk melatih mereka dengan pengetahuan teknikal yang sesuai dan bernilai tinggi.
“Perkara ini lebih kritikal memandangkan banyak industri yang sedang berhadapan dengan kekurangan bakat terbaik dan fenomena global ini memberi impak serius yang merentas sempadan dan disiplin ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia: Program Graduan Pasaran Modal di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Mohamed Khaled menambah, beliau difahamkan dalam pasaran modal khususnya di
syarikat-syarikat audit dan bank pelaburan, defisit tenaga mahir telah mencecah ke tahap 30 hingga 40 peratus daripada jumlah yang diperlukan.
Sehubungan itu kata beliau, kolaborasi strategik yang akan dimeterai antara SC dan KPT melalui inisiatif CMGP boleh menjadi satu usaha ke arah mengatasi masalah yang sedang hadapi.
“Saya berharap dengan termeterainya MOU pada hari ini universiti-universiti juga akan menyahut cabaran untuk terlibat dengan lebih agresif dan bermakna khususnya dalam membantu perlaksanaan CMGP terutamanya dengan menyediakan graduan atau bakat yang bersesuaian untuk menyertai program ini.
“Pihak universiti mesti menggunakan ruang dan peluang ini untuk merancakkan proses hebahan dan sesi perkongsian mesti diadakan dengan lebih kerap dan berkesan di dalam dan luar universiti.
“Bukan sahaja melalui program yang disusun dan dilaksanakan bersama-sama dengan SC di bawah CMGP ini tetapi juga melalui inisiatif tambahan oleh pihak universiti-universiti sendiri.
“Saya juga percaya, susulan kerjasama ini, semakan dan penyelarasan kandungan pengajian boleh dan mesti dilakukan secara strategik oleh pihak universiti,” katanya.
Sementara itu, Awang Adek berkata, CMGP bertujuan meningkatkan ilmu dan kebolehpasaran seramai 9,000 graduan universiti awam dan swasta terutamanya bagi industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, ia juga dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) iaitu sebuah dana yang diurus oleh industri pasaran modal sendiri.
Beliau berkata, program itu mengembeling kerjasama dan kolaborasi antara institusi pasaran modal dan universiti, akan membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal. – MalaysiaGazette