PUTRAJAYA – Hasrat UMNO untuk mempersembah permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong bukan pendirian Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan pendirian UMNO sebagai parti politik dan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Jadi itu kita kena bezakan isu pardon (pengampunan) adalah pendirian UMNO.
“Ia tidak pernah dibawa ke Kabinet jadi itu bukan pendirian Kabinet,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Menurut Anthony, permohonan pengampunan boleh dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) oleh sesiapa sahaja yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Namun ujar beliau, usaha berkenaan perlu mengikuti proses perundangan dan keputusannya perlu adil untuk semua pihak.
“Jadi prosesnya perlu adil kepada semua pihak tapi sama ada ia dibenarkan atau tidak terpulang kepada YDPA jadi kita menaruh kepercayaan kepada proses dan YDPA,” ujarnya.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat parti tersebut untuk membuat permohonan pengampunan kepada Najib adalah berlandaskan prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.
Katanya, parti itu telah mengikuti semua prosedur perundangan sedia ada sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat isu tersebut tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, surat Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Shafee & Co yang tular baru-baru ini juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Surat yang bertarikh 20 Mac itu dilaporkan mendakwa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali melanggar kod etika kerana mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette