Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor beramah mesra bersama pelajar IPT ketika hadir ke majlis berbuka puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi Semenanjung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sedia menerima ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat UMNO.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pintu parti itu terbuka sekiranya ketiga-tiga mereka ingin menyertai PGRS.

“Kalau mereka masuk PGRS kita akan terima. Kalau ada permohonan dan mereka nak masuk. Di Sabah ini banyak parti politik, terpulang kepada mereka untuk memilih,” katanya.

Hajiji berkata demikain  ketika ditemui media selepas menghadiri majlis berbuka puasa mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah mengulas mengenai Datuk James Ratib (ADUN Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (ADUN Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (ADUN Pantai Dalit) yang dipecat UMNO semalam.

Keputusan itu diumumkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Seorang lagi iaitu ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy bagaimanapun tiada tindakan dikenakan.

Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Selain itu, ADUN Balung, Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.

Dalam acara sama, Hajiji turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dan Hari Keamatan sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam di Sabah.

Hajiji berkata, bantuan khas kewangan itu akan disalurkan pada 17 April ini.

“Kerajaan negeri seperti juga Kerajaan Persekutuan sempena Ramadan dan juga Aidilfitri dan Pesta Keamatan memberikan bonus dan bantuan kepada pegawai kerajaan negeri Sabah sebanyak RM700.

“Mereka yang bersara RM350 dan akan dibayar minggu depan pada 17 April,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga ADUN Sabah dari UMNO dipecat – Bung Moktar