Pengarah filem, Datuk Yusof Haslam

KUALA LUMPUR – Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam serta isteri Datin Patimah Ismail sedih namun pasrah anak mereka, Syamsul yang akhirnya bersetuju menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah pada 18 April nanti.

Yusof, 68, berkata, mereka cuma berdoa agar krisis dan konflik antara keduanya bernoktah dengan perdamaian demi anak-anak.

“Walaupun sedih, Sarah sendiri ada alasan yang kuat dan dia tetap akan menjadi menantu kesayangan kami. Syamsul pun jangan lupa tanggungjawab terhadap anak-anak.

“Bila sudah jadi bekas isteri, kami harapkan hubungan mereka takkan terus keruh. Semoga mereka berdamai dan terus jalin silaturahim kerana kita pun tidak tahu apa boleh berlaku pada masa hadapan.

Yusof juga menyerahkan segala urusan lafaz cerai pasangan itu pada 18 April ini kepada mereka sepenuhnya.

Beliau dan isteri tidak akan hadir ke mahkamah untuk prosiding terbabit.

“Itu keputusan terbaik yang mereka ambil, kami hormat. Kami tak nak pilih kasih dan biarlah berada di tengah-tengah. Apa pun, yang penting semoga ia takkan jejaskan hubungan dengan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri Puteri Sarah.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh terbabit yang mana ia akan direkodkan. Antaranya membabitkan hadanah (hak jagaan anak), nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syamsul Yusof, lafaz cerai Puteri Sarah 18 April depan