KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gempak sempena Festival Usahawan Gempak yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Anugerah disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzi.
Penyanyi yang popular dengan lagu terbarunya, Aku Cinta Padamu menerima anugerah berkenaan hasil kejayaan dicatat syarikatnya, CTDK Holdings Sdn Bhd.
Anugerah yang diperkenal kali pertama oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) itu turut memilih sembilan lagi usahawan lain sebagai tanda penghargaan dan sokongan.
Antara syarikat yang turut menerima anugerah tersebut iaitu syarikat susu, Farm Fresh Berhad, CUCKOO International Sdn Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd.
Festival sempena perayaan Aidilfitiri yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat menghimpunkan kira-kira 150 usahawan tempatan bertujuan memudahkan orang ramai mendapat keperluan raya dengan harga murah.
Program yang bermula dari pukul 10 pagi hingga lewat malam itu menawarkan Baucar Rahmah berjumlah RM40,000 untuk ditebus oleh pengunjung.
Selain itu, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah bernilai sehingga RM20,000 yang antaranya termasuk motosikal, televisyen dan barangan elektrik. – MalaysiaGazette