SHAH ALAM – Seorang wanita warga emas mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan menyalahgunakan derma orang awam yang dipercayai dikutip dengan cara menipu melalui media sosial.
Malah kisah wanita itu tular dalam media sosial terutamanya dalam kalangan masyarakat India berikutan penipuan yang dilakukan olehnya melibatkan lebih RM300,000 baru-baru ini.
Bagaimanapun tertuduh hanya didakwa selepas salah seorang daripada penderma itu tampil membuat laporan polis pada 22 Mac lepas.
Tertuduh yang berusia 60 tahun, V. Vijaya Lakshmi ditangkap polis bersama anak lelakinya berusia 28 tahun sebelum disoal siasat dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa telah menyalahgunakan wang yang dipindahkan ke akaun bank miliknya secara dalam talian dan dipercayai dilakukan dekat Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh selepas salah seorang daripada penderma.
Pengadu yang berusia 27 tahun itu telah menderma wang bernilai RM100 dan mendakwa ianya telah disalahgunakan oleh tertuduh.
Andai sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara enam hingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Ketika prosiding hari ini di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, Vijaya mohon dibicarakan serta dibebaskan dengan ikat jamin rendah memandangkan dirinya terpaksa menjaga seorang anak yang tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).
Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh kemudian menawarkan Vijaya Lakshmi diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin namun dirayu untuk dikurangkan oleh peguam tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin serta sebutan kes telah ditetapkan pada 7 Jun depan.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan pihaknya telah menemui wang tunai berjumlah RM110,011 dipercayai hasil sumbangan orang persendirian yang hendak dihantar ke India secara haram.
Selain itu, polis turut menemukan RM208,000 dalam akaun milik tertuduh juga dipercayai hasil sumbangan orang ramai.
Sebelum ini, kecoh di media sosial tentang sebuah keluarga terbabit dalam kegiatan penipuan itu dengan menggunakan alasan untuk menampung rawatan perubatan anaknya berusia 33 tahun yang menghidapi kanser dan sedang dirawat dekat sebuah hospital di Thirichy, India.
Mereka dikatakan meminta sumbangan bagi menampung kos rawatan pembedahan berjumlah RM400,000 bagi mengelak penyakitnya merebak lebih teruk.
Difahamkan ini bukanlah kali pertama perbuatan meminta derma dan menipu masyarakat umum dilakukannya sebaliknya sudah bermula sejak 2014 lagi.
Ketika itu sudah berjaya memperoleh ratusan ribu ringgit hasil sumbangan derma orang ramai melalui media. – MalaysiaGazette