KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia (AirAsia) menyambung semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Shantou bermula 16 Jun dan penerbangan terus baharu dari Kota Kinabalu (KK)  ke Beijing (Daxing) pada 1 Julai tahun ini.

Perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ke Shantou akan bermula dengan dua penerbangan mingguan pada bulan Jun dan akan ditingkatkan kepada empat penerbangan mingguan pada bulan Julai.

AirAsia juga akan terbang dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing) buat kali pertama dengan tujuh penerbangan mingguan.

Perkhidmatan baharu ini membolehkan AirAsia mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China dengan 47% bahagian pasaran susulan penyambungan semula penerbangan ke/dari Macao, Shenzhen, Guangzhou, Nanning, Wuhan, dan Kunming oleh AirAsia Malaysia (AK) baru-baru ini.

Pengembangan laluan jarak dekat ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat penerbangan itu untuk menyelaraskan rangkaian antarabangsanya dan melengkapkan laluan jarak sederhana ke Shanghai, Hangzhou dan Beijing (Daxing) oleh AirAsia X Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, Shantou ialah salah satu daripada destinasi yang popular, yang mana AirAsia telah menerbangkan kira-kira 340,000 penumpang ke/dari bandar itu sehingga akhir tahun 2019.

“China sentiasa menjadi salah satu pasaran utama kami. Kedua-dua laluan itu akan menyumbang kira-kira 10% kapasiti tambahan kepada rangkaian kami di China, dan kami kekal komited untuk mengembangkan lagi sambungan ke Malaysia, yang merupakan destinasi popular untuk pelancong China.

“Strategi pengembangan kami juga merupakan berita baik untuk sektor pelancongan di Malaysia. Pelancaran semula kebanyakan laluan China pada rangkaian kami akan membantu pertumbuhan sektor pelancongan yang merupakan aset penting untuk ekonomi negara. Kami berharap rangkaian kami yang luas ini akan menyumbang kepada sasaran ketibaan pelancong antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebanyak 16.1 juta tahun ini.” katanya.

Sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatannya dan pelancaran laluan baharu, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua sehala daripada RM369 dari Kuala Lumpur ke Shantou dan daripada RM459 dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing).

Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan mulai hari ini hingga 16 April 2023, untuk tempoh perjalanan antara 17 April dan 28 Oktober 2023, di airasia Super App dan airasia.com.

Sebagai sebuah kumpulan, AirAsia terbang ke 35 laluan di China dengan sejumlah 287 penerbangan mingguan dari Malaysia, Thailand, dan Filipina pada bulan Mei, dan merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan mingguan kepada 317 dengan penambahan laluan Kuala Lumpur ke Shantou, Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing), Bangkok (Don Mueang) ke Xi’an dan Cebu ke Shenzhen antara bulan Jun dna Julai.

AirAsia Malaysia kini terbang ke 11 laluan dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Nanning, Macao, dan Hong Kong; dari Kota Kinabalu ke Guangzhou, Shenzhen, Wuhan, dan Hong Kong; dan dari Johor Bahru ke Guangzhou. AirAsia X Malaysia (D7) terbang tiga laluan dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou, dan Beijing (Daxing).

Manakala AirAsia Thailand kini terbang ke 16 laluan dari Bangkok (Don Mueang) ke Chongqing, Chengdu, Changsha, Hangzhou, Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Wuhan, Nanjing, Macao, dan Hong Kong; dari Chiang Mai ke Beijing (Daxing), Changsha, Hangzhou, dan Hong Kong; dan dari Phuket ke Hong Kong. AirAsia X Thailand (XJ) terbang satu laluan dari Bangkok (Suvarnabhumi) ke Shanghai. AirAsia Filipina (Z2) terbang empat laluan dari Manila ke Guangzhou, Shenzhen, Macao dan Hong Kong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast