Tertuduh, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36 merupakan seorang bekas Timbalan Pengurus Besar badan berkanun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan kerana meminta suapan berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan ketika dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Seorang bekas Timbalan Pengurus Besar badan berkanun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan kerana meminta suapan berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021 di Sepang, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Asyraf Mohd Fauzi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkmah Sesyen, Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Asyraf, 36, meminta suapan daripada seorang individu berusia 39 tahun berjumlah RM2,000 sebagai dorongan kepada syarikat Giching Maju Enterprise mendapatkan kerja-kerja pembersihan berhubung Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Asyraf meminta suapan daripada seorang individu berusia 39 tahun berjumlah RM4,000 sebagai dorongan kerana membantu syarikat Giching Maju Enterprise mendapatkan kerja-kerja pembekalan anak benih tebu telur berhubung dengan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan Mohd Ashraf di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang, Selangor pada September 2021.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport perlu diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan tempat kediaman.

Bagaimanapun peguam Saleh Ahmad meminta jaminan dikurangkan kerana anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak yang masih kecil manakala isterinya hanya bekerja sebagai kerani.

Hakim Rozilah kemudiannya membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah turut menetapkan 24 Mei 2023 sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette