KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mendakwa terdapat kempen mencemarkan nama baik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
NGO itu mendakwa, kempen tersebut dilakukan oleh pihak yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengutuk keras tindakan berkenaan.
Bersih dan GBM mendakwa, kempen itu direka untuk menjatuhkan pentadbiran undang-undang dan mencemarkan nama baik badan kehakiman.
“Bersih dan GBM percaya bahawa kempen memburukkan Hakim Nazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan rakan-rakannya berniat untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib yang akan membebaskan beliau daripada penjara.
“Kami dengan rendah diri memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan serta mencemarkan nama baik badan kehakiman.
“Dan menegaskan bahawa Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau,” katanya dalam kenyataan.
NGO terbabit turut menyentuh siasatan Suruhjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) terhadap Mohd. Nazlan.
Menurutnya, tiga daripada empat ketentuan oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan protokol untuk mengendalikan penyiasatan terhadap anggota badan kehakiman telah dilanggar oleh SPRM dan Kerajaan.
“Siasatan terhadap Hakim Nazlan telah dilaksanakan tanpa merujuk kepada Ketua Hakim Negara dan fakta penyiasatan telah diuar-uarkan tanpa mendapat persetujuan beliau.
“Hal ini telah dipegang oleh Mahkamah Persekutuan sebagai “petunjuk yang kuat menunjukkan kekurangan niat baik dalam siasatan jenayah’. Kini, kandungan penemuan siasatan SPRM juga telah diuar-uarkan kepada orang ramai oleh Menteri,” katanya.
Menurutnya, SPRM diberi kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta SPRM.
Badan itu boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keperluan tindakan lanjut dibawah Kod Etika Hakim 2009.
Namun, NGO itu mendakwa, SPRM tidak mempunyai kepakaran atau bidang kuasa untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang memerlukan beliau untuk menarik diri daripada perbicaraan.
SPRM juga tidak boleh menentukan sama ada hakim telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.
Katanya, pengurusan perbicaraaan jenayah adalah urusan mahkamah perbicaraan atau rayuan dan urusan etika kehakiman adalah untuk Ketua Hakim Negara, Jawatankuasa Etika Kehakiman atau tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
“Campur tangan SPRM dalam urusan pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman menunjukkan keangkuhan, kebiadapan dan penghinaan kepada kebebasan badan kehakiman.
“Adalah sangat jelas daripada episod ini bahawa SPRM memerlukan reformasi struktur yang mendalam untuk membebaskannya daripada pengaruh Eksekutif dan tidak dijadikan senjata untuk kepentingan politik.
“Sebarang siasatan terhadap tindakan SPRM yang dinilai sebagai niat jahat terhadap Mahkamah Persekutuan dan masa ‘meragukan’ untuk menguar-uarkan siasatan mereka sebelum rayuan akhir SRC Najib di mahkamah tertinggi tahun lepas, perlu dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.
Sementara itu badan tersebut juga mendakwa, Parlimen dilarang oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan penjalanan mahkamah dibahaskan di Dewan Rakyat kecuali dengan usul substantif yang dibawa oleh tidak kurang daripada 1 per 4 ahli-ahli Dewan.
“Oleh itu, tidak ada jawapan untuk mengatakan bahawa seorang menteri berhak untuk mendedahkan kandungan penyiasatan kepada hakim hanya kerana soalan telah diajukan di Dewan,” katanya. – MalaysiaGazette
ni la badan2 pemfitnah yang selama ini memperbodohkan orang ramai tentang pembohongan dari pihak mereka yang dihalalkan. bersih bukalah seperti namanya tapi hanya berselindung disebalik kejahatan dan manipulasi yang hanya menguntungkan pihak mereka dengan rekaan fitnah demi fitnah. hakim tidak semestinya bebas dari melakukan jenayah dan perlu disiasat sepertimana org lain jika inginkan sistem keadilan yang adil dan bersih.