KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM145.2 bilion pada Februari 2023.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dalam subsektor kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (14.3%); produk makanan, minuman & tembakau (14.0%) dan peralatan elektrik & elektronik (10.0%).

Namun begitu, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan terus menyusut selama tiga bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 1.9 peratus, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.1 peratus daripada jumlah jualan mencatatkan pengembangan yang memberangsangkan sebanyak 10 peratus pada Februari 2023 berbanding 6.9 peratus yang dicatatkan pada Januari 2023.

Industri berorientasikan domestik meningkat kepada 11.0 peratus berbanding 5.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Berbanding Januari 2023, industri berorientasikan eksport kekal dalam trend menurun sejak Oktober 2022 dengan negatif 2.1 peratus manakala industri berorientasikan domestik susut 1.3 peratus pada Februari 2023.

“Seramai 2.35 juta orang pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Februari 2023 yang meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.28 juta orang yang direkodkan tahun lalu (Januari 2023: 3.0%).

“Kenaikan ini didorong terutamanya oleh subsektor produk makanan, minuman & tembakau (5.6%); Peralatan elektrik & elektronik (4.4%); dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (2.8%).

“Bilangan pekerja yang terlibat dalam ketiga-tiga subsektor ini merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dalam sektor pembuatan. Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja meningkat 0.3 peratus,” katanya.

Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun yang berjumlah RM8.16 bilion pada Februari 2023. Berbanding dengan bulan sebelumnya, gaji & upah berkurang sedikit sebanyak 0.2 peratus daripada RM8.18 bilion.

Purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding setahun lalu dengan nilai RM3,474 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja tumbuh sebanyak 6.8 peratus kepada RM61,796.

Mohd Uzir menambah, nilai jualan sektor Ppmbuatan meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM293.2 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Bilangan pekerja juga bertambah 3.3 peratus untuk merekodkan seramai 2.35 juta orang dengan gaji & upah meningkat 4.3 peratus kepada RM16.3 bilion.

Selain itu, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus, berjumlah RM124,780, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast