KUALA LUMPUR  – Jenama festival membeli-belah terkenal,
Starvendors tampil sekali lagi dengan pameran sempena Aidilfitri ini dengan penganjuran Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 (Starvendors 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang akan berlangsung selama 100 jam tanpa henti bermula 13 hingga 17 April 2023.

Pernah mencipta rekod sebagai ‘Festival Raya Terpanjang Tanpa Henti’ di dalam The Malaysia Book of Records dengan pameran raya selama 75 jam pada edisi tahun lalu, Starvendors 2023 dijangka memecahkan rekod Guinness World Records
dengan penganjuran acara 100 jam tanpa henti kali ini.

Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) turut serta mengambil bahagian dalam festival bersejarah ini dengan menawarkan promosi hebat pelbagai produk dan servis yang disediakan oleh syarikat tersebut.

KOPETRO bakal membuka dua tapak pameran di festival Starvendors 2023 dan boleh dikunjungi di ‘booth’ bernombor
5123 dan 5154.

Antara yang menjadi tarikan di ‘booth’ KOPETRO pastinya koleksi baju raya Bulan Bintang yang merupakan jenama terkenal dan hangat diperkatakan masa kini.

Orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan minyak pelincir PETRONAS dengan diskaun menarik terutamanya sebelum perjalanan pulang ke kampung hari raya ini.

Bukan itu sahaja, jualan produk makanan sedia-untuk-dimakan jenama LengQuas, aktiviti seperti cucian dan jualan emas, tawaran pakej pelancongan menarik dan pelbagai lagi promosi menarik boleh dinikmati oleh pengunjung di tapak pameran
KOPETRO.

Promosi istimewa khas juga menanti anggota KOPETRO yang berbelanja di Starvendors 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah menyifatkan penyertaan ke festival Starvendors 2023 sebagai salah satu platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk keluaran KOPETRO khususnya makanan sedia untuk dimakan jenama LengQuas.

“KOPETRO akan sentiasa mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara dan festival terutamanya yang melibatkan penjualan produk tempatan seperti Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 ini untuk memperkenalkan produk keluaran
KOPETRO kepada lebih ramai orang,” katanya.

Ahmad Shakir memberitahu, festival yang diadakan sempena kedatangan bulan Syawal ini adalah masa sesuai untuk pengunjung mendapatkan kelengkapan Aidilfitri khususnya produk keluaran KOPETRO dengan harga promosi.

Tambah beliau, Starvendors 2023 akan menampilkan lebih 600 tapak pameran terdiri daripada vendor yang menjual pelbagai produk daripada makanan, pakaian fesyen Muslimah, hiasan rumah kosmetik dan banyak lagi produk persiapan raya.

Pada tahun lalu, Starvendors telah mengumpulkan lebih 350 usahawan dan 50 selebriti, dan menerima seramai 2.6 juta orang pengunjung.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengasas Starvendors Event Sdn. Bhd., Datuk Ifa Raziah berkata, pihak penganjur mensasarkan lebih tiga juta pengunjung menghadiri acara yang diadakan selama 100 jam itu pada edisi tahun 2023 ini.

Tambahnya, matlamat penganjuran kali ini adalah untuk memberi platform yang eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga.

Festival ini juga terkenal dengan pembabitan artis-artis tanah air yang turut sama membuka tapak pameran dan menjual produk keluaran mereka.

Edisi kali ini menyaksikan lebih 100 orang artis bakal memeriahkan pameran ini antaranya seperti Datuk Sri Siti Nurhaliza, Datuk Sri Vida, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Elyana, Achey Bocey, Nadia Brian, Nana Mahazan, Izara Aishah, Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Sharifah Rose dan ramai lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast