perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan bantuan guaman sedia ada perlu diperkasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan terutamanya dalam kalangan golongan B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan bantuan guaman utama bagi kes-kes jenayah di Malaysia termasuk Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Legal Aid Centre yang dikendalikan oleh Majlis Peguam; Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Klinik Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh pihak universiti.

Menurut beliau, perkhidmatan bantuan guaman merupakan komponen yang penting untuk menegakkan keadilan namun bukan setiap rakyat mampu menanggung kos guaman.

“Lantas, bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam kes jenayah harus mudah diakses oleh mana-mana warganegara Malaysia serta kanak-kanak warganegara asing di peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan mitigasi oleh peguam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azalina mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 bahawa kerajaan akan meneliti ikhtiar untuk menggubal akta yang khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan.

Beliau menambah, selaras dengan seruan Perdana Menteri itu, pihaknya menganjurkan program libat urus iaitu Bengkel Hala Tuju Perkhidmatan Bantuan Guaman Bagi Kes-Kes Jenayah di Malaysia dengan semua pihak berkepentingan dan berkepakaran di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia hari ini dan esok.

Azalina memberitahu, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bantuan Guaman, YGBK dan Majlis Peguam telah dengan matlamat untuk mendapatkan maklum balas bagi menambah baik perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah supaya rakyat mendapat manfaat akses kepada keadilan yang lebih baik dan berkesan.

Menurut beliau, objektif penganjuran program tersebut adalah menyediakan suatu medan perkongsian ilmu pengetahuan dan penjelasan mengenai perkhidmatan bantuan guaman, isu-isu serta cabaran yang dihadapi dan hala tuju perkhidmatan bantuan guaman bagi kes-kes jenayah di negara ini.

“Selain itu, ia bertujuan mewujudkan platform perbincangan dan interaksi efektif bersama pihak berkepentingan dan berkepakaran antara kementerian/ jabatan/ agensi kerajaan yang berkaitan dengan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pengamal undang-undang serta ahli-ahli akademik untuk mendapatkan pandangan dan input mengenai persoalan dasar berkaitan cadangan gubalan Akta Pembelaan Awam.

“Bengkel itu juga bagi meneliti keperluan untuk menggubal Akta Pembelaan Awam dan cadangan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam bagi menambah baik serta mereformasikan perkhidmatan bantuan guaman kes jenayah di Malaysia,” jelasnya.

Azalina berkata, sesi libat urus tersebut diharapkan dapat mengumpul input dan pandangan daripada para peserta mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan dengan kesesuaian mewujudkan akta khusus untuk perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia, kesediaan ke arah penggubalannya, keterbatasannya, kebaikannya, cabaran pelaksanaannya dan mengenal pasti jika terdapat keperluan untuk mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam di Malaysia.

“Kerajaan Madani amat menitikberatkan libat urus berterusan semua pihak berkepentingan agar memastikan sebuah sistem yang efektif dalam memberi perkhidmatan bantuan guaman kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette