Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Dua pelabuhan di Klang dan Johor dipilih untuk pelaksanaan projek rintis sistem Malaysia Maritim Single Window  (MMSW) menjelang suku keempat tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia merupakan sistem yang akan digunakan pelabuhan Klang bagi memudahkan syarikat perkapalan membuat pendaftaran tanpa perlu melalui 12 permohonan daripada pelbagai agensi.

Jelasnya, sistem tersebut akan meningkatkan kecekapan pelabuhan negara, selain dapat menjimatkan masa, sekaligus mengurangkan birokrasi pelbagai agensi.

“Ini inisiatif penting kerana kapal-kapal yang berlabuh sekurang-kurangnya berurusan dengan 12 agensi di negara kita dan perlu kemukakan 12 borang permohonan dengan pelbagai agensi.

“Contoh mana-mana kapal yang masuk perlu kemukakan permohonan dan maklumat untuk Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan pelbagai lagi agensi sebab sekarang ini tidak ada satu sistem mewakili semua,” jelasnya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan, di sini, hari ini.

Ujar Anthony, MMSW dijangka dapat digunakan oleh semua pelabuhan menjelang tahun depan.

“Kalau ada tambah baik kita akan lakukan sebelum ia diseragamkan kepada semua pelabuhan,” jelasnya.

Terdahulu, beliau berkata, maklum balas yang diterimanya oleh pemegang taruh dalam mesyuarat hari ini adalah syarikat perkapalan berhadapan dengan banyak permohonan selain ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut Anthony, Jabatan Kastam sebelum ini telah mencuba untuk membina sistem permohonan yang semua agensi terlibat namun usaha berkenaan belum berjaya. – MalaysiaGazette