Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media selepas memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin UMNO berhubung dakwaan sogok 11 perwakilan pada pemilihan UMNO 2023 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus menafikan dakwaan beliau mengamalkan rasuah untuk mendapat undi kemenangan bagi mempertahankan jawatan itu pada Pemilihan UMNO 2023 baru-baru ini.

Beliau yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn hari ini mendakwa, aduan kononnya beliau menyogok perwakilan sepanjang tempoh kempen itu sengaja dilakukan pihak yang iri hati dengannya.

“Hari ini saya dipanggil mengadap Lembaga Disiplin UMNO Malaysia atas aduan dan laporan daripada pihak tertentu kononnya saya telah ‘membayar’ sekian jumlah kepada perwakilan.

“Saya datang ke Menara Dato’ Onn bersama 15 daripada 20 saksi yang dikatakan telah menerima wang dari saya. Mereka membawa bersama akuan sumpah (SD) yang lengkap ditandatangani sebagai menafikan dakwaan itu.

“Sekarang terpulang kepada Lembaga Disiplin parti untuk memutuskan tuduhan itu. Saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan mereka selepas mendengar jawapan dari saya dan saksi-saksi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn di sini, selepas dipanggil Lembaga Disiplin UMNO Malaysia, hari ini.

Beliau tiba kira-kira pukul 12 tengah hari dan disoal siasat selama lebih dua jam.

Mengikut aduan, Jamal diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin UMNO Malaysia mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pelanggaran perlembagaan parti.

Jamal menghadapi dua pertuduhan pelanggaran disiplin dan tataetika sebagai ahli UMNO sepanjang pemilihan parti 2023 baru-baru ini.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau dikatakan telah melantik penama Kamaruddin Tahir sebagai wakil untuk apa-apa urusan pencalonan dan pemilihan bagi pihaknya.

Beliau juga dituduh memberi RM1,000 melalui Kamaruddin bagi tujuan memilihnya dalam pemilihan itu.

Manakala pertuduhan kedua pula, Jamal didakwa melantik seorang wakil bernama Jamil yang menguruskan proses pemilihan baginya termasuk memberi RM1,300 bagi tujuan berkenaan.

Berikutan itu, Jamal menafikan semua pertuduhan itu dan menyifatkan aduan berkenaan dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya serta mempunyai kaitan dengan pertandingan jawatan itu.

Katanya, sepanjang dua penggal memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, beliau tidak pernah memperoleh kemenangan itu dengan cara sogokan atau merasuah perwakilan.

Malah, katanya, pada pemilihan 2018, ketika beliau dalam buruan dan tidak berada di kawasan, pertandingan jawatan itu tetap dimenanginya.

“Padahal saya tidak ada di kawasan. Saya berada di luar kawasan kerana saya ketika itu dalam buruan pihak tertentu akibat kelantangan saya mempertikaikan kerajaan baharu selepas Barisan Nasional (BN) tumbang.

“Tetapi saya boleh menang dengan majoriti besar iaitu lebih 200 undi. Takkan, dalam mempertahankan jawatan ini pada pemilihan kali ini, saya guna duit untuk menang.

“Sebenarnya, ahli UMNO dan kepimpinan peringkat akar umbi sangat rapat dan erat dengan saya kerana sepanjang berkhidmat sebagai ketua parti, saya sentiasa dekat dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette