PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan menolak untuk mengiktiraf penimbang tara, Dr Gondoza Stampa berhubung kes tuntutan kumpulan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Putrajaya bertegas bahawa penimbang tara adalah satu penyalahgunaan proses malah keabsahan tuntutan oleh kumpulan itu juga tidak boleh diiktiraf.
“Tuntutan ini adalah tidak sah dan suatu cubaan warga asing yang dibiayai pemodal litigasi yang mengancam sebuah negara berdaulat dengan menyalahgunakan proses timbang tara komersial antarabangsa.
“Apatah lagi, terdapat kaitan salah seorang penuntut ini dengan Royal Sulu Force yang telah diklasifikasikan sebagai pengganas setelah pencerobohan Lahad Datu, Sabah meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis perasmian laman sesawang malaysia-sulucase.gov.my di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.
Menerusi laman sesawang tersebut, Azalina berkata, kerajaan akan memberikan fakta yang betul dan sahih bagi membolehkan rakyat dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan kes ini secara telus dan benar.
Malah laman sesawang ini akan menangkis tohmahan penuntut terbabit daripada kerajaan Malaysia.
“Laman sesawang ini akan sentiasa diperkemas dan ditambah maklumat, dokumen dan pelbagai lagi dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes ini.
“Kita juga akan membolehkan laman sesawang ini diakses dalam lima bahasa secara berperingkat iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Jerman dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak dan media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui kebenaran yang dikemukakan Kerajaan Malaysia.
“Saya berharap warga media dan rakyat Malaysia khususnya akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti mengikut lawan sesawang rasmi Malaysia kerana pelaporan dan sebaran maklumat yang tidak benar atau tidak tepat, akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia,” katanya.
Pada Februari tahun lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Menurut Dr Stampa, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah atau pampasan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 yang dikatakan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. – MalaysiaGazette