logo mahlamah

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor anjing akhir Mac lepas, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Braden Yap Hong Sheng, 19, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun hukuman terhadap Yap ditangguhkan berikutan peguam mewakilinya GK Sritharan tidak dapat hadir kerana berada di Filipina.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwana coklat di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, pada 1.49 pagi, 27 Mac lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari, 28 Mac lepas, doktor veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing dan mendapati haiwan itu berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memukul dan membakar anjing berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Johor, Mohd Zamri Shak @ Ishak dan mahkamah menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt. Fariz Ammar Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai seorang lelaki yang dipercayai memukul serta membakar seekor anjing liar secara hidup-hidup,

Kejadian itu mendapat perhatian susulan tular sebuah video berdurasi 8 minit 54 saat menunjukkan seorang lelaki menghidupkan api dipercayai terhadap seekor anjing yang terhalang oleh dinding dan lelaki berkenaan dilihat meninggalkan kawasan tersebut dengan memandu kenderaannya. – Bernama