Dua lelaki diselamatkan bomba selepas tersesat di atas bukit di Tanjung Bungah, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Dua lelaki diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang selepas dilaporkan tersesat ketika mendaki bukit berhampiran Tanjung Bungah di sini, semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Safry Romli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 malam sebelum lima anggota bergegas ke lokasi.

Jelas beliau, mangsa masing-masing berusia 24 dan 28 tahun itu dikatakan mula mendaki pada jam 5 petang dan gagal mencari laluan keluar apabila keadaan mulai gelap dua jam kemudian.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan letih oleh pasukan penyelamat.

“Susulan itu, mereka menghubungi talian kecemasan dan pasukan penyelamat melakukan pencarian berdasarkan kedudukan yang diberitahu mangsa.

“Kedua-dua mangsa berjaya ditemukan pada jam 10.04 malam pada ketinggian 248 meter kawasan bukit berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mereka ditemui di kawasan gelap dan tiada pencahayaan selain keletihan serta tiada bekalan air.

Mangsa selamat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiada kecederaan serius dialami oleh kedua-dua mangsa dan mereka diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 11.16 malam,” katanya. – MalaysiaGazette