Dua anggota polis, T.S Praveen 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang warga asing Indonesia, awal bulan ini.

MELAKA – Dua anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing Indonesia, awal bulan ini.

Tertuduh, T.S Praveen 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia bernama Anisa sebelum mengambil barang milik mangsa.

Ia adalah seutas gelang tangan warna kuning, pasport Indonesia dan satu keping kad ATM Hong Leong Bank melibatkan kerugian kira-kira RM1,800.

Kesalahan dilakukan antara pukul 10 malam sehingga 11.30 malam di dalam hotel bajet di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April lalu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik warga Indonesia terbabit.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Kota Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang dan tidak boleh mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

Selain itu hujahnya, bapa Praveen juga merupakan seorang pesara polis yang telah berkhidmat selama 41 tahun, manakala isteri Safri adalah anggota polis.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 23 Mei ini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast