Petugas menggunakan alat ukur untuk melihat anak bulan menjelangnya bulan Ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan hasil cerapan 1 Syawal 1443H pada 2 Mei tahun lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Menurut kenyataan, laporan itu tidak benar sama sekali kerana hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur ditetapkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Katanya, pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej diperolehi telah disemak jawatankuasa berkenaan.

Selain itu, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal melalui peralatan teodolit.

“Imej diperolehi kemudiannya disahkan Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

“Satu perbincangan khusus juga kemudian dilaksanakan Mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data hilal disediakan sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat.

“Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu, hari ini.

Jakim berkata demikian sebagai menafikan laporan sebuah akhbar bertajuk, “Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti’’ yang disiarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, cecara teknikalnya, data hilal Syawal 1443H adalah tidak memenuhi syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang telah ditetapkan iaitu ketika matahari terbenam ketinggian hilal sekurang-kurangnya 3⁰ dan Jarak Lengkung hilal Matahari 6⁰ 24“.

Data hilal Syawal pada ketika itu adalah berada pada ketinggian 5⁰ 27“ dan Jarak Lengkung 5⁰ 28“.

Daripada data tersebut dapat dirumuskan kedudukan hilal berada pada kedudukan kritikal atau 50/50 untuk dapat dilihat kerana salah satu syarat telah dipenuhi dan beza dengan syarat Kriteria Imkanur Rukyah terlalu kecil.

Selain itu, tempoh cerapan hilal yang agak lama iaitu 27 minit dan keadaan cuaca yang baik membantu kepada proses cerapan serta peluang kenampakan hilal.

Umur hilal yang mencecah 15 jam 28 minit juga menunjukkan lebar sabit hilal adalah lebih matang dan peluang kenampakan ketika itu lebih cerah.

Oleh kerana peluang kenampakan hilal pada ketika itu adalah 50/50, perkara ini telah dibincangkan dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Mufti Wilayah supaya segala kemungkinan tersebut diberi perhatian sewajarnya.

Penjelasan lanjut berhubung isu ini boleh diikuti menerusi laman Facebook rasmi Jakim dalam rancangan Tanya JAKIM yang disiarkan secara langsung menerusi pautan https://fb.watch/jTb3oYTnYQ/?mibextid=cr9u03.

Jakim juga kata kenyataan itu, menyangkal laporan artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Kenyataan tersebut tidak benar dan mengelirukan kerana semakan Jakim di laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

Sehubungan itu, kenyataan bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal 1433H/ 2 Mei 2022 di Labuan terbatal adalah amat tidak tepat dan sangat mengelirukan.

Semua pihak disarankan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlaku kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

Sehubungan itu, Jakim menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia. – MalaysiaGazette