KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditangkap selepas menendang pintu surau hingga rosak kerana tidak puas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang terletak di bawah flat di Sg Chua Kajang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek, 46 tahun yang tinggal tidak jauh dari surat berkenan melakukan khianat itu pada jam 9.25 malam Ahad yang lalu.
“Suspek yang tinggal tidak jauh dari surau berkenaan menyatakan tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang kuat hingga mengganggu suspek sekeluarga termasuk dengan jiran-jiran yang tinggal kawasan berhampiran,” katanya menerusi kenyataan.
Kejadian berkenaan tular menerusi rakaman video di media sosial baru-baru ini.
Mohd Zaid berkata, ekoran itu saksi-saksi lain yang terlibat turut dipanggil memberikan keterangan.
Tambah beliau, suspek ditangkap bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lepas.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jelasnya.
Mohd Zaid menambah, siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyalahguna rangkaian dengan penyebaran video tersebut dengan niat tidak baik.-MalaysiaGazette