Pegawai kanan polis kontinjen KL ditahan SPRM selepas disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

PUTRAJAYA – Tiga wanita direman lima hari kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka berjumlah jutaan ringgit.

Ketiga-tiga wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu terdiri daripada dua pengarah syarikat pembekal minyak urut manakala seorang lagi adalah isteri kepada bekas pengarah urusan syarikat pusat urut tersebut.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketiga-ketiga individu itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kerana disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019.

Mereka dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut pada harga tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka, melibatkan jumlah pembelian bernilai RM9 juta.

Sumber itu berkata, syarikat berkenaan dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta akibat pembelian tersebut.

Perintah reman bermula hari ini hingga 17 April dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas pengarah urusan dan bekas pegawai kewangan syarikat pusat urut tersebut. – Bernama